SEJARAH

Kampung Batu 14 Puchong terletak di dalam kawasan Parlimen Puchong (P103) dengan Ahli Parlimennya YB Tuan Gobind Singh Deo dan di dalam kawasan DUN Sri Serdang (N29) di bawah YB Noor Hanim binti Ismail.

Kampung Batu 14, merupakan salah sebuah kampung terawal yang dibuka di kawasan Puchong. Kampung ini telah wujud sejak zaman British iaitu kira-kira dalam tahun 1915 dan dinamakan Kampung Batu 14, Puchong kerana jarak kampung ini dari Kuala Lumpur hanya 14 batu sahaja. Kebanyakan penduduk asal kampung ini adalah terdiri daripada keturunan dari indonesia yang berhijrah ke kampung ini dari Pulau Sumatera dan Jawa. Pekerjaan mereka adalah menangkap ikan, berkerja di ladang getah Inggeris, lombong Kapal Korek dan bekerja sendiri. Kawasan Puchong ketika itu terkenal dengan kawasan bijih timah dan terdapat beberapa syarikat lombong bijih British dengan kapal koreknya.                   

Oleh kerana banyak peluang pekerjaan dalam sektor perlombongan dan perladangan, maka ramailah orang berhijrah ke kawasan ini termasuklah kaum cina, india, pakistan dan lain-lain untuk mendapatkan pekerjaan. Kampung Batu 14 ini asalnya hanya didiami oleh orang Melayu dan sebilangan kecil orang cina. Orang India pula kebanyakanya tinggal di rumah kongsi ladang getah British.                 

Ada juga pendapat mengatakan bahawa kamoung Batu 14, Puchong ini telah dibuka lebih 100 tahun dahulu. Pada zaman darurat dalam tahun 1948, semua kaum telah diarahkan tinggal di dalam satu penempatan yang dipanggil New Village atau Kampung Baru yang nama Kampung Baru ini di pagar berduri sebanyak dua lapis dengan mempunyai satu pintu sahaja unutk masuk dan keluar manakala orang yang keluar masuk di pintu tersebut sentiasa dikawal rapi oleh pasukan keselamatan iaitu oleh Polis Khas. Ini kerana terdapat banyak pangganas komunis di kawasan Puchong dan pihak British terpaksa mengambil langkah ini untuk mengawal penduduk kampung menyokong pertubuhan komunis. Pada masa itu, kampung ini dikenali sebagai "kawasan atau kampung hitam" kerana merupakan sasaran utama pihak komunis menjalankan aktiviti mereka dan menerima bekalan makanan.

Kampung Batu 14 Puchong (Petaling) merupakan penempatan tradisi di kawasan Puchong yang dipelihara dengan lengkap. Ia terkenal dengan hubungan kaum yang baik antara kaum Melayu-Cina-India-Orang Asli (Puak Rasau). Nama Batu 14 Puchong sebenarnya adalah berasal dari sebutan loghat orang Hakka. Ia bergelar Batu 14 disebabkan jaraknya ke Jalan Kelang( kini Jalan Kelang Lama) ialah 14 Batu.

Pada tahun 1950, penjajah British telah mengumpul dan menempatkan penduduk yang tinggal berselerak sekitar Puchong di Batu 14. Maka dengan itu, tertubuhlah Kampung Batu 14 Puchong. Pada awal penubuhan, Semasa kampung itu ditubuhkan, ia hanya menempatkan 86 keluarga dengan bilangan penduduk sebanyak 500 orang. Pada tahun 1960-an, 240 keluarga dari Kampung  Pasir telah diwartakan dan dimasukkan ke dalam Kampung Batu 14 Puchong. Sehingga awal tahun 1990-an, kawasan Batu 14 Puchong masih dikelilingi ladang-ladang kelapa sawit dan getah. Hanya terdapat satu laluan jalan yang sempit dalam kampung ini.

Kampung Batu 14 Puchong berada di bawah pentadbiran Daerah Petaling. Ia merupakan di antara salah sebuah kampung yang tertua di dalam Daerah Petaling. Ini dapat dibuktikan dengan kewujudan tokong Kuan Yin yang berusia ratusan tahun, penubuhan Sekolah Rendah Cina Han Ming pada tahun 1921, dan penerokaan Tanah Perkuburan Tionghua pada tahun 1928.

Pentadbiran kampung ini pada masa lalu meliputi kawasan yang agak luas iaitu sehingga ke kamoung Sri Aman dan kamoung -kampung sekitarnya. Walau bagaimanapun, perkembangan yang berlaku kemudianya telah memberikan autoriti kepada kampung-kampung lain untuk mentadbir kampung mereka sendiri. Kini Kampung Batu 14 meliputi kawasan Kampung Batu 14, Kampung Baru Cina, Kampung Baru Tambahan, Kampung Bunga Melor, Kampung  Pasir, Kampung Pasir Tambahan, Kampung Pasir Baru dan PKNS

Kini ia berwajah baru dengan dikelilingi pusat-pusat komersial dan taman-taman perumahan. Jumlah penduduknya dijangka akan melebihi 50,000 orang. Perangkaan itu jelas menunjukkan tidak ada kesan penghijrahan keluar penduduk yang ketara. Pertambahan jumlah pelajar juga telah membuktikan pertambahan penduduk yang ketara sama ada di Kampung Batu 14 Puchong atau taman perumahan jajahannya. 
Kawasan Kampung Batu 14 ini telah dikelilingi oleh rangkaian taman-taman perumahan, blok-blok rumah kedai dan pangsapuri, rumah pangsa dan lain-lain. Perhubungan jalan raya di antara kampung ini dengan Lapangan Terbang KLIA, Putrajaya Cyberjaya, Shah Alam, Subang Jaya, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur adalah salah satu faktor utama yang menyebabkan kawasan Kampng Batu 14 amnya dan kawasan Puchong khasnya telah menajdi satu tarikan kepada orang ramai untuk menetap di kawasan ini.

Kedudukannya yang berjiran dengan Putrajaya dan Cyberjaya, telah membuatkan nilai hartanah di Puchong melambung tinggi. Ia terletak kira-kira 22km dari arah Kuala Lumpur,10km dari arah Putrajaya dan 8 km dari arah Subang Jaya.